Bakapit - JKKK & PTI

JKKK diminta bantu tangani kemasukan pendatang asing

Sumber: Berita Harian Online
Tarikh: 20 Disember 2006 (RABU)

MENGGATAL: Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini, diingatkan supaya sentiasa memantau keadaan kampung masing-masing bagi mengesan kemungkinan kehadiran pendatang asing tanpa izin.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Jainab Ahmad berkata langkah itu penting bagi membantu pihak berkuasa menangani masalah berkenaan dan sekali gus mengambil tindakan susulan.

Katanya, ia juga selaras tanggungjawab Ketua Kampung serta JKKK sebagai pemimpin di peringkat akar umbi untuk menyalurkan maklumat mengenai tahap keselamatan dan keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

"Sebagai pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, mereka perlu membantu kerajaan mengenal pasti kehadiran pendatang dan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ada perkara mencurigakan berlaku di kampung mereka.

"Tanggungjawab berat itu perlu mereka pikul selaras dengan kehendak kerajaan yang mahu memastikan kebanjiran pendatang di negeri ini dapat ditangani bersama secara bersepadu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Bengkel Generasi Pendakwah di Masjid Kampung Tebobon, di sini, kelmarin. Seramai 121 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat dan belia menyertai program sehari itu.

Turut hadir ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Karambunai, Manjah Awang Bahar dan Imam Daerah Kota Kinabalu, Asli Karim.

Jainab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai turut menggesa nelayan dan pengusaha bot di sekitar perairan negeri ini supaya memberitahu pihak berkuasa jika mengesan kehadiran kapal atau bot asing yang mencurigakan.

"Kita meminta nelayan dan pengusaha bot supaya turut membantu pasukan keselamatan dengan menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kegiatan yang boleh menggugat keselamatan negara di kawasan perairan.

"Tanggungjawab mereka sama penting dengan tanggungjawab pemimpin masyarakat di peringkat kampung," katanya.

Jainab berkata, pihaknya turut mengalu-alukan kehadiran dua kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), iaitu KD Pahang dan KD Kedah yang dihantar untuk membantu pemantauan keselamatan di perairan negeri ini.

Tambahnya, kehadiran kapal peronda itu bukan saja dapat menangani masalah kemasukan pendatang ke negeri ini, malah membantu kerajaan memastikan keselamatan kapal dagang yang berada di perairan negeri ini.

 
Today, there have been 14 visitors (24 hits) on this page!
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free